PEMBAHASAN HUKUM PENGGUGURAN JANIN

 
            Persoalan ini timbul semasa saya belajar mengkaji pembuktian sains di dalam Hadis Rasulullah saw. Semasa pembentangan Makalah yang saya buat, ada seorang bertanya adakah boleh menggugurkan janin sebelum ditiupkan ruh kepadanya. Saya cuba menjawab secara ringkas tetapi tidak dapat memuaskan kerana terdapat dua pendapat tentang jawapan itu sehingga berlaku pembahasan dikalangan pelajar dan pensyarah. selepas kelas soalan itu mula berlegar hingga ke pelajar syariah dan juga mempunyai dua pendapat. Bertitik tolak dari keadaan itu, menarik minat saya mengkaji semula pendapat-pendapat dan fatwa ulama mengenai pengguguran janin ini.
 

Kajian Hukum Pengguran Janin :
Persoalan ini mempunyai perbahasan panjang dikalangan ulama dan merupakan antara masalah yang mempunyai banyak perbedaan pendapat bukan dikalangna mazhab-mazhab sahaja, tetapi ulama-ulama dahulu dengan sekarang. Adapun perbedaan pendapat ini ketika usia janin sebelum ditiupkan roh kepadanya. Selepas peniupan ruh, jumhur ulama bersepakat mengharamkannya. Ulama juga berbeda pendapat dalam menentukan bila ruh ditiupkan kepada janin. Perbincangan ini cuba dikaitkan dengan perkembangan teknologi dengan memahami hadis.
Mengenai hukum pengguguran janin ini, tidak ada nash yang secara lansung menyebutkannya, baik al-Quran maupun hadis. Sedangkan yang dijelaskan dalam kitab Allah swt. adalah tentang haramnya membunuh orang tanpa hak, mencela perbuatan itu dan menghukum pelakunya dengan hukuman yang abadi di neraka. Firman Allah swt. bermaksud:
Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah jahannam dan ia kekal di dalamnya. Allah murka kepadanya dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya.[1]
Dalam kajian ini cuba membawa beberapa pendapat mazhab, ulama dahulu dan ulama kontemporar bagi mencari pendapat-pendapat yang rajih dan kuat. Perbahasan ini dibahagikan kepada dua bahagian besar iaitu :
·         Pendapat mazhab dan ulama dahulu
·         Pendapat ulama kontemporer

a.       Pendapat mazhab dan ulama terdahulu tentang hukum menggugurkan janin dan masa ruh ditiupkan kepada janin.
Beberapa mazhab berselisih pendapat tentang hukum menggugurkan janin yang usianya belum mencapai empat bulan atau belum ditiupkan ruh kepadanya. Banyak sekali perbedaan pendapat yang ada di antara mazhab-mazhab itu, bahkan antar ulama dalam satu mazhab pun juga berselisih pendapat, hingga adanya banyak pendapat di dalam setiap mazhab.[2]
                    i.            Mazhab Hanafi
-          Jumhur ulama yang membolehkan
Para fuqaha dari mazhab Hanafi membolehkan pengguguran janin sebelum peniupan ruh jika mendapat izin dari pemilik janin, yaitu kedua orangnya. Kebanyakan pendapat yang mereka kemukakan tentang bolehnya menggugurkan janin sebelum peniupan roh ini kerana sebelum peniupan ruh, belum terjadi penciptaan apa pun pada janin, baik sebahagian atau keseluruhan.
-          Ulama yang mengharamkan
Ibu Abidin menukil dari beberapa kitab fikih dalam mazhab Hanafi, bahawa mereka mengharamkan pengguguran kandungan sebelum peniupan ruh, kerana janin pada masa itu merupakan bakal manusia yang nantinya akan menjadi manusia atas kehendak Allah.
-          Ulama yang memakruhkan
Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa menggugurkan kandungan sebelum ditiupkan ruh hukumnya boleh tetapi makruh kerana setelah zigot menempel pada dinding rahim, dia adalah hidup.
-          Umur janin ditiupkan ruh
Jumhur ulama dalam mazhab Hanafi mengatakan ruh ditiupkan kepada janin pada usia seratus dua puluh hari iaitu empat bulan

                  ii.            Mazhab Maliki
-          Jumhur ulama mengharamkan
Jumhur ulama pada mazhab Maliki mengharamkan penguguran kandungan setelah air mani berada di dalam rahim. Syeikh Alaisy berkata: Jika rahim telah menangkap air mani, maka tidak boleh bagi suami isteri ataupun satu daripada mereka untuk menggugurkan janinnya, baik sebelum penciptaan maupun sesudah penciptaan.
-          Ulama yang memakruhkan
Sebahagian fuqaha Malikiyah memakruhkan pengguguran jinin setelah janin terbentuk di dalam rahim sebelum berusia empat puluh hari dan mengharamkannya sesudah itu.
-          Ulama yang membolehkan
Al-Lakhami salah seorang ulama Malikiyah berpendapat, bahwa menggugurkan janin sebelum berusia empat puluh hari hukumnya harus dan tidak perlu menggantikan apa-apa.
-          Umur janin ditiupkan roh
Jumhur ulama dalam Mazhab Maliki bersepakat roh ditiupkan kepada janin ketika janin berumur 40 hari.

                iii.            Mazhab Syafii
-          Jumhur ulama membolehkan
Pendapat yang paling dipegan oleh mazhab ini bahwa menggugurkan kandungan selama janin belum ditiupkan roh kepadanya adalah boleh. Syaik Qalyubi berkata, (Ya, boleh menggugurkannya walaupun dengan obat sebelum peniupan roh pada janin)
-          Ulama yang memakruhkan
Ar-Ramli juga sampai kepada suatu kesimpulan, yang akhirnya menjadi pegangan mazhab ini, iaitu memakrukah pengguguran janin sebelum peniupan roh dan mengharamkannya setelah memasuki waktu yang mendekati peniupan roh.
-          Ulama yang mengharamkan
Imam Abu Hamid Al-Ghazali mengharamkan pengguguran janin pada semua fase perkembangan kehamilan dan terus terang dia mengatakan bahwa janin dangan fase perkembangan umumnya sebelum peniupan roh, haram untuk digugurkan.
-          Umur Janin ditiupkan roh
Jumhur ulama dalam mazhab Syafii mengatakan roh ditiupkan ke dalam janin semasa umur janin 120 hari.

                iv.            Mazhab Hambali
-          Jumhur Ulama Membolehkan
Pendapat mereka secara umum dalam mazhab ini membolehkan pengguguran kandungan pada fase perkembangan pertama sejak terbentuknya janin, yaitu fase zigot, yang usianya maksimal empat puluh hari, dan setelah empat puluh hari tidak boleh digugurkan.
-          Ulama yang mengharamkan
Ibnul Jauzi berpendapat mengharamkan pengguguran kandungan sebelum peniupan roh di semua fase perkembangan janin. Demikian yang dinukil Al-Mawardi darinya.
-          Umur janin ditiupkan roh
Kebanyakan ulama dari kalangan mazhab Hambali mengatakan roh ditiupkan kepada janin ketika janin berumur 40 hari.

Perbahasan diatas dapat disimpulkan seperti berikut :
Mazhab
Jumhur hukum pengguguran janin
Jumhur pendapat Umur janin ditiupkan roh
Hanafi
Boleh
120 hari
Maliki
Haram
40 hari
Syafii
Boleh
120 hari
Hambali
Boleh
40 hari

Secara kesimpulannya, perbedaan pendapat tentang hukum pengguguran janin dan umur ditiupkan roh banyak bergantung kepada  beberapa hadis dari Rasulullah saw. seperti dua hadis ini :
Dari Zaid bin Wahb, ia mengatakan,”Abdulah mengatakan,’Rasulullah saw. telah menceritakan kepada kami dan beliau itu benar dan dibenarkan, bahwa setiap orang dari kalian itu dikumpulkan kejadian penciptaannya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, lalu menjadi alaqah selama itu pula, dan menjadi mudgah selama itu pula. Lalu Allah mengutus malak, dan diperintahkan tentang empat perkara; tuliskanlah amal, ajal, kecelakaan dan kebahagiaannya dan ditiupkanlah padanya ruh.[3]
Ibnu Masud berkata,”Sesungguhnya saya mendengar Rasulullah saw. bersabda,’Apabila nutfah (sperma dan ovum) melewati 42 hari, Allah mengutus malak, maka ia membentuknya, menciptakan pendengaran, penglihatan, kulit, daging, dan tulang-belulangnya[4]. H.r. Muslim : 4783

b.      Pendapat dan fatwa ulama kontemporar
Setelah meneliti ulama-ulama terkini, jumhur ulama mengharamkan pengguguran janin dalam semua usia. Keputusan ini berkemungkinan dipengaruhi oleh perkembangan teknologi kedoktoran yang dapat mengetahui kedaan janin dalam peruk dan tidak bertentangan di dalam hadis Rasulullah saw. dan Al-Quran. Dr. Yusuf Qardawi berkata ketika menghuraikan fatwanya (Bagaimana seandainya mereka tahu apa yang kita ketahui sekarang bahwa kehidupan telah terjadi semenjak bertemunya sel sperma laki-laki dengan sel telur wanita?.[5]

Beberapa fatwa dan pendapat ulama kontemporer ;
                    i.            Fatwa al-Muasirah (Dr. Yusuf Qardawi)
Pada dasarnya hukum aborsi/pengguguran janin adalah haram, meskipun keharamannya bertingkat-tingkat sesuai dengan perkembangan kehidupan janin. Pada usia empat puluh hari pertama tingkat keharaman paling ringan, bahkah kadang-kadang boleh digugurkan kerana uzur yang ringan, bahkan juga boleh digugurkan kerana uzur yang muktabar, dan setelah kandungan berusia di atas empat puluh hari maka keharaman menggugurkannya semakin kuat, kerana tidak boleh digugurkan kecuali dengan uzur yang lebih kuat lagi menurut ukuran yang ditetapkan oleh ahli fiqh. Keharaman itu bertambah kuat dan berlipat kali ganda setelah kehamilan berusia seratus dua puluh hari, yang hadis diistilahkan telah mamasuki tahap (peniupan ruh). Hanya dibolehkan kerana benar-benar darurat.[6]

                  ii.            Himpunan Fatwa Majelis Ulama Indonesia
Janin adalah makhluk yang hidup memiliki kehidupan yang harus dihormati (hayah muhtaraman); menggugurkanya berarti menghentikan (menghilangkan) kehidupan yang telah sedia ada; dan ini hukumnya haram, berdasarkan sejumlah dalil.[7]
                iii.            Fatwa-fatwa Kontemporer Tentang Problematika Wanita (Musa Shalih Syaraf)
Adapun jika dilihat dari hukum syara, maka ahli fiqh sudah sepakat bahawa pengguguran kandungan setelah ditiupkannya nyawa pada kandungan itu artinya sesudah empat puluh bulan adalah haram dan mengatakan Makruh pengguguran janin sebelum ditiupkan ruh dan tidak digalakkan.[8]

                iv.            Pandangan Dr. M. Nuaim (penulis buku Fikih Kedoktoran)
Adapun fase dimana janin belum ditiupkan roh kepadanya, maka menggugurkannya berarti merusak, sedangkan hukum merosak berbeda-beda sesuai dengan objek yang dirusak. Dengan demikian, hukum pengharaman pengguguran janin sebelum peniupan ruh, harus dikembalikan kepada hukum dasar merusak sesuatu yang bermanafaat baik suatu itu hidup maupun mati, dan hukum dasar ini tidak boleh bertentangan dengan dalil. Maka janin keadaan seperti ini haram hukumnya untuk digugurkan tanpa ada kepentingan tertentu.[9]

                  v.            Khalid Al-Husainani (dalam bukunya 1000 Tanya Jawab Masalah Agama Wanita)
Soalan yang diajukan kepada beliau ialah : adakah melakukan Aborsi dibolehkan?. Beliau menjawab ; tidak, meskipun janin yang dikandungnya adalah hasil penzinaan. Ia harus bertobat kepada Allah dan tidak menyebarkan hal itu kepada orang lain. Status anak dinisbatkan kepada pasangannya (Syaikh bin Baz)[10]

                vi.            M. Quraish Shihab (dalam buku ‘Perempuan’)
Beliau berpendapat  bahawa  : Haram melakukan pengguguran janin dalam semua keadaan.[11]

              vii.            Ustaz Zaharuddin (pemikir Islam Malaysia)[12]
Hukum Menggugurkan Janin
Sebagai tambahan dan lebih faedah untuk pembaca disertakan hukum Menggugurkan Janin dalam keadaannya yang berbeza :
Ø  JANIN mengidap Penyakit yang ringan (tidak mengakibatkan kematian) yang boleh diubati. Hukumnya : HARAM sebelum 4 bulan dan selepas
Ø  JANIN mengidap kecacatan ringan yang tidak boleh diubati tetapi ia boleh hidup. Seperti Buta, Cacat sebelah tangan, atau kedua-duanya, cata kaki, kurang jari dan sebagainya Hukumnya : HARAM jika umur janin melebihi 4 bulan, HARUS kiranya umur bayi di bawah 4 bulan.
Ø  JANIN mengidap Kecacatan yang serius yang membawa kematian . seperti tiada kepala, tiada paru2 dan sebagainya Hukumnya : Biasanya janin akan gugur dengan sendirinya. Tiada hukum.
Ø  JANIN mengalami kecacatan anggota yang membawa akan membawa kematian sejurus selepas dilahirkan. Hukumnya : Terdapat perbezaan pandangan ulama'
a.       HARUS sebelum 4 bulan, Haram selepas 4 Bulan.
b.      HARUS walaupun selepas 4 bulan, dengan syarat, Keyakinan tinggi hasil analisa doktor pakar.

Ø  JANIN menghidapi penyakit AIDS. Hukumnya : HARUS sebelum 4 bulan , Haram selepas 4 Bulan.
Ø  JANIN yang terhasil akibat dirogol Hukumnya : HARUS digugurkan hanya sebelum 4 Bulan.
Ø  JANIN yang sihat @ sakit @ cacat tetapi nyawa Ibu terancam kiranya janin dilahirkan. Hukumnya : HARUS gugur janin samada sebelum atau selepas 4 bulan, kerana nyawa Ibu diutamakan dalam hal ini.


[1] An-Nisa’ : 93
[2] Dr. Muhammad Nuain Yasin, Dr. Muhammad Nuaim Yasin, Fikih Kedoktoran, penterjemah Minur Abidin, M.Ag, cet-4, Jakarta, Pustaka Al-Kausar, m/s 238
[3] Shoheh Bukhari :6105
[4] Shoheh Muslim : 4783
[5] Dr. Yusuf Qardawi, Fatwa al-Muasirah, penterjemah Drs. Asad Yasin, m/s 779, cet-1, Gema Insani Press, Jakarta, 1995
[6] Ibid
[7] Prof. KH Ibrahim Hosen, Drs. Hasanudin, M.Ag., Himpunan Fatwa Majelis Ulama Indonesia, diputuskan pada 18 April 2000, Jakarta
[8] Musa Shalih Syaraf, Fatwa-fatwa Kontemporer Tentang Problematika Wanita, penterjemah Iltizam Syamsuddin, m/s 200-201, cet-1, Pustaka Firdaus, Jakarta, 1997
[9] Dr. Muhammad Nuaim Ysin, Op cit, m/s 268
[10] Khalid Al-Husainani, 1000 Tanya Jawab Masalah Agama untuk Wanita, penterjemah M. Fatih, m/s 58-59, cet-1, Fajar Inayati, Jakarta, 2005
[11] Rujuk, M. Quraish Shihab, Perempuan, m/s 233, cet-4, Lenera Hati, Jakarta, 2007
[12] Zaharuddin.net,

0 comments:

Catat Ulasan