Hadis Rasulullah ada yang bertentangan?


            Ramai yang mungkin tidak mengetahui tentang hadis-hadis ini dan mungkin juga telah mengetahui akan tetapi tidak tahu cara untuk menyelesaikan hadis-hadis yang mempunyai masalah yang sama tetapi mempunyai hukum yang berbeza. Ada yang tidak mempercayai akan adanya hadis ini dan hanya mendengar salah satu hadis sahaja dan tidak mendengar hadis lain yang mempunyai hukum yang berbeza.


            Dalam bidang Usuluddin, masalah ini dibincangkan dalam subjek khusus yang dikenali sebagai Ilmu Ikhtilaf hadis. Dalam ilmu ini, sudah ramai ulama menulis buku-buku ikhtilaf hadis seperti Ibnu Qutaibah, As-Syafi’i, dan beberapa ulama’ lain. Yang menjadi persoalan adakah benar Rasulullah saw. menerangkan hadis yang bertententangan hukum, ada hadis yang mengatakan halal dan ada hadis yang mengatakan haram.
            Contoh Hadis yang mempunyai hukum yang berlainan:

Hadis Pertama:
عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لعن زوارات القبور.
Dari Abu Hurairah r.a. bahwa Rasulullah saw. melaknati wanita-wanita yang terlalu sering berziarahi kubur. (Shoheh Bukhari)

Hadis kedua:
زوروا القبور فإنها بذكر الموت
 Berziarahlah kubur, sesungguhnya berziarah kubur itu mengingatkan tentang kematian” (Shoheh Muslim)

            Dalam hadis ini secara zahirnya mendapati pertentangan hukum, pada hadis pertama Rasulullah saw. melarang umatnya untuk menziarhi kubur dan pada hadis kedua Rasulullah membenarkan untuk menziari kubur. Sebelum membincangkan hadis ini, disini cuba diterangkan pandangan ulama dalam mendifikan hadis-hadis Ikhtilaf:
            Imam Nawawi sebagai dikutip oleh Al-Sayuthiy mendifiniskan Ilmu Mukhtalif hadis ialah dua buah hadis yang saling bertentangan pada makna lahiriahnya namun makna sebenarnya bukanlah bertentangan, untuk mengetahui makna sebenarnya tersebut maka keduanya dikompromikan atau ditarjih untuk mengetahui mana yang kuat diantaranya. (Ikhtisar Mustalahul Hadis).
            Secara kesimpulannya, hadis-hadis seperti di atas secara zahirnya nampak bertentangan antara satu sama lain, akan tetapi hadis ini apabila dikaji akan menemukan jawapannya. Dalam menyelesaikan hadis-hadis ini, berbagai pendapat ulama tentang cara penyelesaiannya. secara kesimpulan dapat digariskan empat kaedah penyelesaian, iaitu:
1.      Jam’ul  wal taufiq (mencari titik sama antara kedua hadis yang nampak bertentangan)
2.      Nasakh dan Mansuk (dinilai dari segi penyataan Rasulullah, Ijma’ sahabat, latar belakang hadis)
3.      Tarjih (dinilai dari segi kedaan, usia perawi, tatacara periwayatan, waktu, redaksi, kandungan dan unsur eksternal)
4.      Tawaqquf (tertahan sehingga ada ulama yang dapat menjelaskan).

Contoh :
Kembali kepada contoh hadis tadi, perbezaan dua riwayat hadis pertama dan kedua ini dapat diterangkan seperti dibawah:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. melaknati wanita-wanita yang terlalu sering berziarahi kubur. (Shoheh Bukhari)
Manakala hadis kedua, bermaksud:
“Berziarahlah kubur, sesungguhnya berziarah kubur itu mengingatkan tentang kematian” (Shoheh Muslim)

            Kedua hadis di atas berkualitas shahih. Pada hadis pertama, dianggap bertentangan dengan hadis kedua. Hadis pertama berisi ketidaksenangan Nabi yang boleh diertikan sebagai larangan kepada wanita-wanita yang terlalu sering menziarahi kubur. Sedangkan hadis kedua berisi perintah secara umum baik untuk laki-laki dan perempuan untuk berziarah ke kubur, kerana hal tersebut dapat mengingatkan manusia terhadap adanya kematian.
            Menurut Al-Qardawi, sebagaimana ia menukil pendapat al-Qurtubi, hadis pertama diatas dapat dikumpulkan dengan hadis kedua. Pada hadis pertama disebutkan bahawa  yang dilaknak adalah zawwarat (wanita yang terlalu sering berziarah kubur). Ini berarti ada kemungkinan wanita tersebut telah meninggalkan kewajibannya yang lain, hanya kerana sering menziarahi kubur.
            Itulah menyebabkan mengapa dilarang oleh Nabi. Analisis seperti ini merupaka analisis yang digunakan dalam ilmu iktilaf hadis dan mengguanakan kaedah jam’ul wal taufiq atau mengkompromikan kedua-dua hadis ini untuk diamalkan. Perbedaan ini dilihat dari segi peristiwa sewaktu hadis ini disebut oleh Rasulullah saw.
            Selain hadis ini, ada lagi hadis-hadis lain seperti hadis amal yang paling afdhal, dalam muamalat, akhlak dan lain-lain yang boleh dipelajari secara lebih mendalam dalam ilmu ikhtilaf al-hadis. Melalui contoh diatas, dapat kita fahami akan pentingnya ilmu ini bagi memahami hadis dengan baik selain dapat mengelakkan berlaku perpecahan dalam memahami hadis. Dalam masalah ini sering diambil peluang oleh orientalis untuk mengapi-apikan lagi dan menyerang hadis Rasulullah saw. dengan mendoifkan hadis-hadis yang telah dishohehkan oleh ulama.
            Faedah untuk mempelajari ilmu ini ialah :
1.      Memahami dengan baik hadis-hadis yang sacara zahirnya bertentangan dengan metode penyelesaian yang diterangkan ulama-ulama hadis.
2.      Memahami perbedaan pendapat didalam Islam dan tidak menyalahkan antara satu sama lain hanya kerana perbedaan ini.
3.      Mengetahui hikmah disebali hadis-hadis yang secara lahirnya nampak bertentangan.
4.      Mengelakkan dari kesalahfahaman dalam memahami hadis-hadis Rasulullah saw.
5.      Dapat menjawab tentangan dan persoalan yang disampaikan oleh musuh-musuh Islam dalam usaha untuk menjatuhkan Rasulullah saw.
6.      Dapat mengelakkan berlaku perpecahan dikalangan umat Islam itu sendiri.

Bagi penulis, terlalu banyak lagi ilmu-ilmu hadis yang begitu penting untuk diteliti dan dipelajari dalam usaha memahami hadis dengan baik dan benar. Nukilan ini hanya menerangkan secara ringkas dan umum bagi memahami sepintas lalu ilmu-ilmu yang berkaitan. Perlu diingatkan, tidak mungkin Rasulullah saw. menerangkan satu-satu hukum yang mempuyai perbedaan kecuali hanya perbedaan yang dilihat secara zahirnya sahaja.
Sekian,

Rujukan :
Shoheh Bukhari,
Shoheh Muslim,
Ushul Al-Hadis
Ikhtisar Mushtalah Hadis (Drs Fachur Rahman)
Paradigma Baru Studi Ilmu Hadits. (Dr. Daniel Djuned)
Takwil Mukhtalaf Al-Hadis (Ibnu Qutaibah)
Dan beberapa kita lain.

Disediakan Oleh :
Faizal

0 comments:

Catat Ulasan