DI SEBALIK TABIR HIJRAH RASULULLAH.


Bedah Buku 1 : Fiqh Sunnah.

 

            Hijrah Rasulullah dan Umat Islam merupakan suatu peristiwa yang sangat penting dalam Islam. Ini kerana penghijrahan Rasulullah merupakan strategi yang paling baik dalam perkembangan Islam keseluruh dunia. Hijrah bukan bermakna melarikan diri, akan tetapi menyusun strategi. Jika benar dakwaan Orientalis mengatakan hijrah itu merupakan upaya Rasulullah saw. melarikan diri, pada waktu iut umat Islam akan jatuh dan tidak akan berkembangan seperti sekarang. Banyak buku-buku sirah menerangkan secara terperinci sebab dan hikman Hijrah di samping perintah Allah SWT supaya berhijrah.
            Dalam nukilan ini, tidak menumpukan kepada kisah keseluruhan hijrah kerana kisah Hijrah ini telah banyak ditulis dan didiskusikan dalam berbagai cara, secara umumnya ramai yang telah mengetahui perjalanan Hijrah. Nukilan ini khusus membincangkan isu yang jarang di sebut dan dibincangkan iaitu Di Sebalik Tabir Hijrah Rasulullah SAW. ke Madinah. Kebiasaan cerita di sebalik tabir ini kurang diketahui dan watak pun kurang untuk orang kenali.
           
Abu Bakar meminta izin berhijrah :
            Mengikut apa yang terdapat di dalam kumpulan hadith shoheh, yang diriwayatkan oleh ulama sirah, Abu Bakar telah datang menemui Rasulullah meminta izin hendak berhijrah, setelah mana beliau dapati ramai orang muslimin telah turut berhijrah ke Madinah, Rasulullah menjawab “Bersabarlah dulu sebenarnya aku menanti-nanti hingga datang keizinan dari Allah dahulu.” Abu Bakar bertanya, “Adakah memang begitu yang tuan hamba nanti-nantikanYa, memang benar” jawab Rasulullah. Dengan itu Abu Bakar terus berhenti menyoal dan faham beliau yang akan menemani Rasulullah. Abu Bakar terus menyediakan dua kenderaan iaitu unta dan memberi makanan dan minuman yang cukup selama 4bulan untuk memastikan unta itu sihat dan cergas.
Sebelum Hijrah.
            Selepas mengetahui penghijrahan pengikut Rasulullah saw. ke Yasrib (Madinah), pihak Quraisy begitu marah. Mereka juga begitu berhati-hati dan mengikuti perkembangan Rasulullah lebih-lebih lagi selepas mengetahui pengikut Rasulullah semakin ramai. Paling menarik sekali pengikut itu bukan dari kalangan puak Quraisy dan bukan ramai dari anak tempatan sehingga menimbulkan keraguan dalam diri Quraisy apakah Rasulullah saw. akan keluar dari Makkah, kemudian membuat persiapan di sana untuk membuat pukulan yang hebat selepas puak Quraisy melakukan penyiksaan terhadap Umat Islam.
            Oleh Itu, puak Quraisy berkumpul dan bermusyuarat di kelab mereka (iaitu di rumah Ubai bin Kilab), untuk menghadapi semua ini. Mereka membincangkan langkah yang perlu diambil terhadap Rasulullah sebelum apa-apa terjadi. Pendapat dari kalangan terbanyak daripada mereka bersetuju memilih setiap puak pemuda yang tahan lasak dan memberikan pedang yang tajam untuk membunuh Rasulullah saw. Mereka telah menetapkan masa tertentu akan tetapi Jibril Alaihisalam telah mendahului mereka dan mengkhabarkan kepada Rasulullah.

Rasulullah menemui Abu Bakar.
            Di dalam Shahih Al-Bukhari, Saiyidatina Aisyah memceritakan: “Pada suatu masa ketika kami berada di Rumah Abu Bakar di mana udara siang begitu membakar, tiba-tiba ada orang melaung Abu Bakar, katanya: “Hai, tongok itu Rasulullah saw. dengan pakaian menyamar diri, selalu baginda tidak pernah datang di waktu-waktu ini.” Abu Bakar berkata: “Demi Tuhan, kedatangan Rasulullah di waktu ini, adalah untuk sesuatu yang penting.” Aisyah menambah kata lagi, “Bila sampai dihadapan rumah, baginda meminta izin, Abu Bakar pun mempersilakan Rasulullah masuk, dimana baginda terus masuk ke dalam kemudian Rasulullah saw. berkata: “Mari kitab bercakap di luar,” jawab Abu Bakar, “Mereka di dalam ini semua semua keluarga Rasulullah belaka,” Kemudian barulah Rasulullah menceritakan. Katanya, “Sekarang aku telah pun diizinkan untuk keluar berhijrah”, “Bolehkah tuan Hamba (Abu Bakar) menemani tuan hamba?” Tanya Abu Bakar, jawab Rasulullah, “Ya memang” Abu Bakar Memberitahu, “Ambillah wahai Rasulullah salah seekor dari dua ini.” Kata Rasulullah “Dengan harga”.
            Cerita Aisyah lagi: “Kami pun sediakan segala persiapan secepat mungkin, begitu juga bekalan yang telah dimasukkan ke dalam uncang. Di mana Asma’ binti Abu Bakar telah mengoyak kainnya untuk mengikat mulut uncang tadi, akhirnya dikenal dengan “Zatun Natiqian” pemilik kain pinggang.”

Peranan Ali dengan Amanah Rasulullah.
            Lepas menemui Abu Bakar Rasulullah berkejar menemui Sayyidina ‘Ali bin Abi Thalib, menyuruh tunggu di Makkah buat beberapa ketika selepas baginda berangkat hijrah, agar baginda dapat memulangkan kembali barang-barang dan amanah yang diamanahkan kepada baginda dahulu, kerana penduduk Makkah biasanya, kalau ada sesuatu yang hendak diamanahkan maka Rasulullah menjadi tempat demikian, kerana orang arab Quraisy tahu benar tentang kejujuran baginda dan beramanat.
            Selain itu juga Ali dipinta oleh Rasulullah saw supaya tidur di tempat baginda. Baginda menenangkan Ali dengan mengatakan bahawa tidak ada suatu kecelakaan pun akan datang kepadanya.

Peranan Abdullah dan Asma’ (Kedua-dua Anak Abu Bakar),Orang Suruhan Abu Bakar, Amir bin Fuhairah dan Abdullah bin ‘Uraiqah.
            Abdullah bin Abi Bakar disuruh oleh Abu Bakar supaya mengintip apakah yang diperkatakan oleh Puak Quraisy terhadap Rasulullah dan Abu Bakar selepas berhijrah dan berada di gua Thur nanti. Pada malamnya Abdullah akan melaporkan maklumat yang didapati kepada Abu Bakar. Abdullah akan tidur bersama Abu Bakar dan Rasulullah saw. di dalam gua dan akan kembali sebelum hampir siang supaya dia seolah-olah menginap di kota Makkah.
            Manakala Asma’ pula berperanan menghantar makanan kepada Abu Bakar dan Rasulullah pada setiap petang. Orang suruhan Abu Bakar, Amir bin Fuhairah  disuruh membawa kambing ternakan ke tempat ternakan, dan bila petang  dibawa berhampiran pintu gua tempat persembunyian untuk Mengambil susu. Selain itu juga Amir juga berperanan membawa kambing  ternakan melalui jalan-jalan yang dilalui oleh Abdullah (Anak Abu Bakar yang pergi ke tempat persembunyian Abu Bakar dan Rasulullah untuk menyampaikan maklumat) supaya menghapuskan kesan tapak kaki Abdullah ke pintu gua itu.
            Abdullah bin Uraiqat ialah seorang musyrikin yang boleh dipercayai. Selepas puak Quraisy gagal mencari Rasulullah yang bersembunyi di Gua Thur, baru Abu Bakar dan Rasulullah keluar dengan dipandu oleh Abdullah bin Uraiqat yang telah diupah untuk menunjuk jalan rahsia dan tersembunyi dari mata orang ramai menuju ke Madinah.
Begitulah peranan dan strategi yang diatur Rasulullah saw. dan Abu Bakar ketika dalam perjalanan berhijrah. Yang utama dalam perjalanan ini ialah pertolongan Allah swt. kepada Rasulullah saw. Rasulullah merupakan kumpulan yang terakhir berhijrah selepas semua umat Islam berhijrah, samaada berhijrah secara senyap atau terangan seperti yang dilakukan oleh Umar ra.

Kesimpulan:
Begitulah sedikit sebanyak, di sebalik hijrah Rasulullah saw. ketika menuju ke Madinah. Mustahil dalam nukilan yang ringkas ini dapat mencerikan keseluruhan Perjalanan dan cabaran Hijrah Rasulullah, tatapi coretan ringkas ini hanya sedikit petikan-petikan ringkas yang dianggap sesuai dikoreksikan dan dihayati.
Selain itu, perlu berhati-hati akan cerita-cerita Hijrah yang direka-reka dan di tokok tambah sehingga menghilangkan hikmah di sebalik Hijrah seperti kaitan dengan  binatang-binatang dan lainnya.
 Sekian….. 
Faizal.

0 comments:

Catat Ulasan